Sep 12, 2009

ANTHONNY MENCARI MUHAMMAD AMIN -Part 2-

* Kisah ini ditulis oleh seorang hamba ALLAH s.w.t .Kisah yang penuh erti tentang seorang Katholik yang mendapat hidayah ALLAH s.w.t *Marilah kita hayati kisah ini * ...Bahagian Akhir...




ANTHONNY MENCARI MUHAMMAD AMIN


RAMADHAN ITU

Ramadhan 1424 menjelma. Masjid kembali meriah. Setiap malam, iftar disediakan dan anak-anak muda semakin gemar berkumpul malah tidur di masjid sahaja. Saya membiarkan sahaja, asalkan mereka menjaga kebersihan dan mengemas masjid sebelum jemaah subuh tiba.

Jumaat pertama Ramadhan itu, Anthony datang ke masjid selepas Asar.
“Salam to you Imam. May Allah bless you. How is everybody in the mosque?”, Anthony menghulurkan tangan bersalaman dengan saya.
“Salam to all those who seek His guidance”, saya menjawab sambil tersenyum.
“Imam, hari ini saya berpuasa. Pastikan makanan berbuka puasa nanti cukup. Saya kelaparan yang amat sangat”, Anthony ketawa kecil.
“Rumah dibina di atas tapak yang telah dipasak. Puasa kamu adalah sebahagian dari rumah itu. Bagaimana dengan tapaknya?”, saya cuba beranalogi.
“Malam ini Insya Allah. Harap Imam dapat membantu”, Anthony merenung tepat ke mata saya. Padanya ada keyakinan yang tinggi dan saya tahu ini adalah hari yang dinantikan.
“Pastinya Anthony. Jika tengah malam sekali pun kamu gerakkan saya untuk ini, saya akan bangun dan membantu”, saya menjawab.

Selepas solat Maghrib, jemaah sibuk mengambil tempat masing-masing sebelum nasi minyak dan ayam tandoori diedarkan. Ketika semua orang sibuk makan, saya bangun dan membuat pengumuman.
“Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakatuh. Brothers and sisters, malam ini kita berasa sangat bertuah kerana kita akan menerima seorang lagi saudara baru. Brother Anthony mahu melafazkan syahadahnya sebentar lagi. Kepada sesiapa yang berkelapangan, anda dijemput untuk bersama”

Jemaah di masjid bertakbir. Ramai yang terpinga-pinga bangun mencari siapakah Brother Anthony yang saya maksudkan. Makanan segera diselesaikan.
“Brother Anthony, malam ini kamu telah membuat kesaksian dengan penuh kerelaan hati kami bahawa Islam adalah agama Allah yang benar. Tiada sesiapa yang memaksa kamu?”, saya bertanya.
Anthony mengeleng-ngelengkan kepalanya sambil tersenyum.
“Kamu juga telah memahami asas-asas Islam dan tahu di mana titik perbezaan antara Islam dengan Catholicism yang kamu anuti?”, saya menyoal lagi.
“Terima kasih kepada Imam kerana telah membantu saya memahami Islam. Islamlah agama yang benar dan saya mahu hidup serta mati bersama Islam”, Anthony menjawab dengan penuh yakin.

“Baiklah, ada sebarang persoalan terakhir sebelum kamu melafazkan Syahadah?”, saya memberikan ruang kepada Anthony untuk menyelesaikan sebarang hal yang masih belum jelas baginya.
“Ya, selepas saya memeluk Islam, saya harap sekalian yang hadir dapat membantu dan membimbing saya mengenal Islam”, Anthony mengangkat kepalanya kepada hadirin yang mengelilingi kami.
Seluruh jemaah tersenyum dan menganggukkan kepala. Saya menggenggam tangan Anthony sebagai tanda ‘bersama’nya saya di dalam permintaan itu.

“Awak ikut sebutan Syahadah saya satu persatu. Kita akan lafazkan ia di dalam Bahasa Arab dan kemudiannya Bahasa Inggeris.”, saya memberitahu.
Anthony mengangguk.

LAHIRNYA SEMULA SEORANG HAMBA

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlah … Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah
I bear witness that there is no God but Allah … And I bear witness that Muhammad is the messenger of Allah
“Alhamdulillah. Segala puji buat-Mu ya Allah. Oh Tuhan, kau bimbinglah Anthony ke jalan keredhaan-Mu, kau lapangkan jiwanya dengan Islam. Kau kuatkan keazaman dan semangatnya. Kau hidupkanlah dan matikanlah kami semua di dalam Islam”, saya berdoa.

Anthony bangun dengan air mata bercucuran membasahi pipinya. Malam itu dia lahir semula. Tangisannya seperti anak kecil yang mencari pelukan kasih.
Kami berpelukan. Ahli jemaah masjid berjabat tangan dan mengucapkan tahniah kepada Anthony.
“Selamat kembali ke fitrah asalmu Anthony. Kami adalah saudaramu, sehidup semati”, As’ad, iaitu salah seorang jemaah di masjid kami memeluk Anthony dan bersalaman dengannya.
Saya membawa Anthony ke bilik dan memberikan sedikit taklimat berkenaan beberapa perkara yang perlu Anthony lakukan. Dia yang sudah sedia datang ke masjid dengan persalinan, menuju ke bilik air untuk mandi, seumpama membasuh jahiliah yang telah ditinggalkan buat selamanya dan datang kepada Allah sebagai hamba yang suci dan bersih.

Malam itu Anthony berbaris bersama jemaah yang lain untuk solat Isyak dan Tarawih. Kali ini bukan hanya untuk merasa pengalaman, tetapi sebagai sujud pertama seorang insan yang pulang ke pangkuan Tuhan, diiringi keindahan bintang dan bulan kecil hiasan malam Ramadhan, di celah awan yang menurunkan gerimis iman, buat seorang teman bernama Anthony.

Kini, Anthony sudah berhijrah ke London. Beliau mendaftarkan diri membuat Diploma Pengajian Islam di sebuah kolej di London dan sms terakhirnya kepada saya, Muhammad Amin sudah beristerikan seorang Muslimah dari Tunisia.

Salam rindu saya buat Muhammad Amin Mooney, semoga engkau terus beristiqamah dengan Islam, yang telah mempersaudarakan kita.Tweet kan nya !

1 comment: