Sep 7, 2009

ANTHONNY MENCARI MUHAMMAD AMIN -Part 1-

* Kisah ini ditulis oleh seorang hamba ALLAH s.w.t .Kisah yang penuh erti tentang seorang Katholik yang mendapat hidayah ALLAH s.w.t *Marilah kita hayati kisah ini * 

     ANTHONNY MENCARI MUHAMMAD AMIN

Mr. Imam, bolehkah awak bacakan saya mana-mana kenyataan al-Quran yang bercakap tentang Mary?”, Anthony bertanya kepada saya.
“Boleh. Sebentar ya. Saya ambilkan terjemahan al-Quran di situ”, saya menyambut permintaannya.
Pagi itu saya menerima kunjungan Anthony, seorang pemuda Katholik. Beliau menyatakan minatnya untuk mendalami Islam. Saya berbesar hati menerimanya, apatah lagi Anthony bermazhab Katholik. Amat sukar untuk bertemu dengan seorang Katholik yang memeluk Islam di Belfast.

Pagi itu, Anthony muncul buat kali pertama. Beliau memperkenalkan diri kepada saya dan memberitahu bahawa beliau bekerja sebagai seorang kaki tangan kerajaan yang bertugas di Stormont, iaitu parlimen Ireland Utara. Seperti Westminster di England.
”Baiklah Anthony, saya bacakan awak beberapa petikan dari surah Maryam ya”, saya memberitahu beliau.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Peduli Lagi Maha Mengasihi
Hamba-Nya

”… Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) di dalam Kitab
Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di
sebuah tempat sebelah timur (16)

Kemudian Maryam membuat dinding
untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: roh dari
Kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk
kejadiannya.(17)

Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada
(Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang
bertaqwa.(18)

Ia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk
menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci”. (19).

Maryam
bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki,
padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan
perempuan jahat?” (20)

Ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak
usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak
menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan
Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari kami; dan hal itu adalah
satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya. (21)

Maka Maryam
hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke
sebuah tempat yang jauh.(22)

(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit
beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar
(kurma); ia berkata: Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah
aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
(23)

Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau
berdukacita (wahai Maryam), Sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu
sebatang anak sungai.(24)
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar
itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. (25)

“Maka
makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan.
Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya
aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang
demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan
manusia pada hari ini”.(26)

Kemudian baliklah ia kepada kaumnya
dengan mendokong anaknya. Mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam!
Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!
(27)

“Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang
buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!”
(28)

Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. mereka berkata
(dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih
kanak-kanak dalam buaian?” (29)

Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini
hamba Allah; ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan ia telah menjadikan
daku seorang Nabi. (30)

Dan ia menjadikan daku seorang yang berkat
di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan
memberi zakat selagi aku hidup.(31)

“Serta (diperintahkan daku)
taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan ia tidak menjadikan daku seorang Yang
sombong takbur atau derhaka. (32)

Dan segala keselamatan serta
kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku
mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula”. (33)

Yang
demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah
keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya
(34)

KASIH MARYAM

Habis ayat-ayat itu saya bacakan, Anthony menangis. Matanya merenung saya dan berkata, ”Imam, kalaulah yang bercakap tentang Mary ini seorang manusia, nescaya saya akan sembah manusia itu. Inilah ungkapan paling indah tentang Mary yang pernah saya dengar.”

Saya sendiri jadi hiba dengan kenyataan Anthony. Saya tahu, Maryam merupakan seorang insan yang amat istimewa di hati orang Kristian. Dalam masyarakat yang mengalami keretakan institusi keluarga, ramai yang berdamping dengan kisah-kisah Maryam, demi mencari kasih sayang dan sumber kekuatan diri. Tetapi keindahan sebutan tentang Maryam, lebih terserlah di dalam al-Quran buat Anthony, berbanding Bible yang sudah dibacanya semenjak kecil.

Pertemuan saya dengan Anthony tidak berakhir di situ. Beliau sering datang melawat masjid dan masa pilihannya ialah sebelum Zohor. Waktu itu saya agak lapang dan Anthony mempunyai banyak ruang untuk berbual dengan saya.

CUBA SOLAT

Zohor itu, Anthony duduk bersandar di dinding belakang dewan Solat. Dia seperti tenggelam mendengar keasyikan Mohd Nor melaungkan azan. Mohd Nor adalah sahabat saya, seorang akauntan dari Malaysia yang datang menemani isterinya menyiapkan PhD di Belfast. Suara merdu Mohd Nor, atau lebih mesra dengan panggilan Abu Muaz, memukau Anthony sehingga matanya seperti tidak berkelip menghayati bait-bait azan yang membesarkan Allah di masjid kami.

“Imam, saya ada satu permintaan. Bolehkah kalau saya sertai sembahyang kamu semua? Saya berdiri di belakang pun tak apa”, Anthony nampak bersungguh-sungguh dengan permintaannya.
“Boleh. Malah kamu bukan orang pertama berbuat begitu. Kamu masih ingat dengan Jonathan yang saya ceritakan tempoh hari? Sebelum dia memeluk Islam pun, dia pernah meminta perkara yang sama.”, saya memberitahu.

“Oh, Jonathan tu. Dia di Coleraine, kan?”, Anthony bertanya.
“Ya. Sesekali dia datang ke Belfast bertanyakan hal-hal agama dengan saya. Apa-apa pun, kamu berdirilah di saf belakang ya. Dan pastikan pakaian kamu bersih”, saya menepuk bahu Anthony sambil melangkah ke mihrab untuk mengimamkan Solat Zohor tengah hari itu.
“Allahu Akbar!”, saya mengangkat takbir dan segala puji buat-Mu ya Allah.
Selepas Zohor, saya masuk semula ke bilik pejabat. Anthony mengekori saya dan menyambung perbualan.
“Saya nak tahu, Imam. Di tempat kerja saya tiada tempat Solat. Bagaimanakah saya hendak bersolat? Saya tidak mahu selepas memeluk Islam, saya ada meninggalkan Solat.”, beliau bertanya.
“Oh, begitu. Allah menjadikan semua tempat yang bersih, boleh digunakan untuk kita berSolat. Kamu ada bilik sendiri?”, saya cuba mendapatkan kepastian.
“Tak ada. Saya hanya mempunyai cubicle sendiri.”, jawabnya.
“Kalau begitu, kamu bentangkan sahaja sehelai kain untuk kebersihan. Kalau mahu, saya boleh berikan sejadah ini. Saya pinjamkan kompas untuk kamu cari arah kiblat di pejabat kamu, ya.”, ujar saya.
“Oh, semudah itukah? Apakah tidak perlu kepada kamu datang ke tempat saya untuk menabur berkat?”, Anthony bertanya. Galak matanya mencari penjelasan.
“Hah hah, kamu biar betul Anthony. Di dalam Islam tiada istilah menabur berkat seperti itu. Imam hanya bertugas memimpin dan menyelaraskan Solat. Sebab Solat bukan hanya ibadah, ia juga latihan dari Allah agar umat Islam tersusun dalam kehidupannya.”, saya ketawa mendengar soalan Anthony.
“Jadi maknanya dalam Solat tadi, kamu berdiri di hadapan bukan sebagai perantara kami dengan Tuhan?”, beliau menyoal.

“Tidak. Semua orang bercakap secara langsung dengan Allah, berhubung secara direct dengan-Nya. Islam tidak memerlukan priest untuk menghubungkan manusia dengan Penciptanya.”, saya cuba menghilangkan kekeliruan Anthony.
“Maknanya, Imam adalah Muslim Protestant lah ya?”, Anthony bertanya lagi.
“Hahaha…”, saya ketawa dan saya tahu Anthony juga bergurau sebenarnya.
“Ya, Islam lebih dekat di hati saya. Saya dan Imam, kita sama-sama makhluk ciptaan-Nya. Kita sama-sama diuji oleh Tuhan. Siapa yang patuh akan selamat. Siapa yang engkar akan dihukum.”, Anthony seperti berbicara kepada dirinya sendiri. Dia merenung lantai dan sepi seketika.
“Anthony, apakah kamu sudah bersedia untuk kembali kepada Allah?”, saya bertanya perlahan-lahan.

Anthony mengangkat kepalanya dan tersenyum kepada saya, “Ramadhan ini saya akan lafazkan Syahadah. Saya mahu memulakan Islam saya pada bulan Islam bermula.”
“Insya Allah. Cuma kamu tahu yang kamu boleh melafazkan Syahadah pada bila-bila masa sahaja, kan?”, saya mahu mendapatkan kepastian.
“Ya, saya faham Imam. Doalah kepada Allah untuk saya. Saya sedang mengumpul kekuatan diri”, Anthony bersalam dengan saya di pintu masjid. Kami sedang sibuk mengecat masjid dan membersihkan halaman kerana Ramadhan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Jika Anthony memeluk Islam, beliau adalah saudara baru ke-18 yang berSyahadah di hadapan saya. Namun tidak ramai Irish yang bermazhab Katholik memeluk Islam. Setakat ini hanya dua dan mungkin Anthony menjadi yang ketiga. Selebihnya adalah Protestant. Tetapi setiap seorang Katholik yang memeluk Islam, ternyata mereka menjadi sangat dinamik. Seorang yang terbaik di masa jahiliah akan juga menjadi yang terbaik semasa Islam, jika sikap positif dan ‘kuat mengaji’ itu dikekalkan.Tweet kan nya !

1 comment:

  1. Subhanallah, agungnya Al-Quran, indahnya Solat, great artikel r bro, nukan yang buku yang aku kata pernah baca tu....teruskan la usaha Dakwah(kata member aku yang juga member Anip)

    ReplyDelete